Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Tuesday, March 02, 2010

:((

View Comments
 
 SESIAPA pun yang siuman dan mempunyai perasaan, pasti sebak jika pun tidak mengeluarkan air mata melihat gambar wajah comel Syafia Humairah Sahari, berusia tiga tahun, apabila berita mengenai kematiannya dipercayai akibat didera, terpampang di kaca televisyen dan dada akhbar sejak Jumaat lalu. Bedah siasat ke atas mayatnya, mendapati punca kematian Syafia Humairah ialah kerosakan teruk buah pinggangnya dan pendarahan pada kulit kepala dan otak. Selain itu, ada kesan lama, termasuk bekas dicucuh puntung rokok pada badannya. Syafia Humairah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru pada senja Khamis lalu, ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan. Laporan televisyen dan akhbar memetik beberapa saksi sebagai berkata, kanak-kanak malang itu ditampar, dipijak pada perut dan disepak beberapa kali oleh suspek di padang bola di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, sebelum dia dibawa ke hospital. Hanya manusia berhati haiwan sanggup berbuat demikian kepada manusia lain.

Kejadian sadis ini mengingatkan kita kepada satu lagi kes penderaan yang hampir sama menimpa seorang lagi budak perempuan, juga berusia tiga tahun, kira-kira lima bulan lalu. Pada Oktober lalu, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah, mati akibat didera teruk oleh teman lelaki ibunya, seorang warga Sudan di sebuah kondominium di Cheras. Mayat Aaliyah Aiman ditemui terbaring di rumahnya dengan cedera teruk di kepala dan badan oleh ibunya ketika pulang kerja pada 12 Oktober, yang kemudian membuat laporan polis kononnya kanak-kanak itu didera pembantu rumah. Bagaimanapun, siasatan polis mendapati rumah itu memang tiada pembantu rumah. Seminggu selepas itu, ibu mangsa dan teman lelakinya ditahan polis untuk siasatan. Warga Sudan itu kemudian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh.

Sekurang-kurangnya ada dua persamaan dalam kes Syafia Humairah dan Aaliyah Aiman, selain usia mereka tiga tahun. Pertama ialah mereka didera teman lelaki ibu masing-masing yang dipercayai tinggal bersama. Keduanya, penderaan ke atas mereka diketahui oleh jiran tetangga, tetapi ia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa sama ada kerana takut, tidak mahu mencampuri urusan orang lain atau memang kerana sikap tidak peduli. Si ibu, walaupun tahu anaknya didera mungkin tidak melaporkan perkara itu kerana malu, takut ditinggalkan atau kerana sayangkan teman lelakinya.
Sekiranya, jiran tetangga mempunyai sedikit sikap peduli dengan melaporkan syak wasangka mereka mengenai penderaan itu pada peringkat awal sama ada kepada keluarga mangsa atau kepada pihak berkuasa, mungkin Syafia Humairah dan Aaliyah Aiman tidak menjadi arwah. Begitu juga dengan beberapa kanak-kanak lain yang menjadi mangsa penderaan ibu bapa masing-masing sebelum ini. Malangnya jiran tetangga hanya memberitahu bahawa mereka mensyaki, mendengar atau melihat penderaan kanak-kanak apabila mangsa sudah meninggal dunia.

Dalam kes Syafia Humairah misalnya, kejadian yang membawa kematian itu berlaku di padang bola kampung di depan ramai orang. Malangnya tidak ada yang menghalang suspek ketika memijak dan menendang kanak-kanak malang itu, seolah-olah mereka tiada rasa belas kasihan. Apakah sikap tidak peduli yang selama ini lebih dikaitkan dengan warga kota sudah turut menjangkiti masyarakat Melayu di desa? Memang pepatah Melayu ada mengatakan 'jangan menjaga tepi kain orang', tetapi ia bukan bermaksud sehingga membiarkan kekejaman dan pembunuhan berlaku di depan mata. Malah membantu mangsa penganiayaan seperti itu dituntut oleh agama.
Hakikatnya, masalah penderaan kanak-kanak semakin membimbangkan, walaupun ada kempen dibuat dan talian khusus disediakan bagi orang ramai membuat laporan. Statistik terakhir Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan kes penderaan meningkat daripada 2,279 kes pada 2007 kepada 2,780 kes pada 2008. Pada empat bulan pertama tahun lalu, 819 kes dilaporkan atau purata tujuh kes sehari. Kes penderaan ibu bapa dan penjaga yang sepatutnya melindungi anak sendiri juga meningkat daripada 992 kes pada 2007 kepada 1,266 kes pada 2008.

Walaupun kementerian berkaitan sudah merangka Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang memberi tumpuan terhadap aspek perlindungan, advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan bagi kanak-kanak serta penyelidikan mengenai isu kanak-kanak, penderaan dan keganasan tidak mungkin dapat dibanteras tanpa kerjasama semua pihak khususnya masyarakat sendiri. Pada masa sama, agensi yang ketika ini dilihat aktif untuk menangani masalah maksiat seperti Rela dan penguat kuasa jabatan agama perlu turut diberi tanggungjawab menangani masalah ini. Jika selama ini mereka terlalu cepat bertindak jika ada laporan mengenai khalwat, keutamaan sama perlu diberi kepada laporan atau desas desus mengenai penderaan kanak-kanak kerana ia juga adalah sebahagian daripada 'amal makruf'. Lagipun dosa mendera dan membunuh kanak-kanak lebih besar daripada berkhalwat.

Thursday, February 18, 2010

pelajar buang bayi.... :(

View Comments

ALOR STAR - Seorang pelajar sekolah menengah agama di Pokok Sena di sini bertindak di luar batas kemanusiaan apabila membuang bayi perempuan yang baru dilahirkan danditemui mati di tempat pembuangan sampah belakang asrama sekolah itu.

Pelajar perempuan berusia 18 tahun dan berasal dari Hulu Langat, Selangor itu dipercayai melahirkan anak Isnin lalu di bilik asrama.

Bayi malang yang cukup bulan itu dipercayai dibunuh ibunya sendiri sebelum membungkusnya dengan kain batik dan menutupnya dengan timbunan sampah.

Ketika ditemui, bayi perempuan itu dalam keadaan hampir rentung bersama urinya yang masih berdarah.

Pelajar terbabit dikatakan menjadi mangsa rogol di ibu negara ketika pulang bercuti tetapi kejadian itu tidak dilaporkan kepada keluarganya dan polis.

Rahsia pelajar itu melahirkan anak luar nikah terbongkar apabila dia mengadu sakit perut dua hari selepas bersalin dan dibawa seorang ustazah sekolah itu ke hospital untuk pemeriksaan.

Doktor mendapati pelajar itu sebenarnya baru bersalin dan memaklumkannya kepada ustazah berkenaan. Selepas dipujuk, barulah pelajar itu mengaku melahirkan anak sebelum membuangnya di belakang asrama.

Menurut seorang kakitangan sekolah itu yang ditemui Kosmo! semalam, disebabkan badan pelajar itu yang agak gempal dan tinggi menyebabkan pelajar dan kakitangan sekolah tidak menyedari dia mengandung sehingga sembilan bulan.

"Pelajar itu selalu tidak sihat dan pernah berhenti belajar di sini dahulu dan sambung belajar semula, semua orang tak sangka dia mengandung, lagi pun dia tidak bergaul sangat dengan orang lain," jelasnya yang enggan dikenali.

Katanya, sekolah terbabit gempar apabila melihat beberapa orang guru mencari mayat bayi di tempat buang sampah di belakang asrama sekolah.

"Mayat itu dijumpai dalam keadaan terbakar sebab kawasan itu tempat buang sampah. Tukang kebun bakar sampah lalu terkena mayat bayi, semua badan terbakar kecuali sedikit sahaja di bahagian muka," ujarnya.

Sementara itu jurucakap polis memberitahu, guru sekolah agama berkenaan telah membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Langgar di sini kelmarin.

Thursday, February 11, 2010

hurmm :(( ~ *&^%$#@*!!#$%^&*

View Comments
MELAKA 10 Feb. – Mungkin kehadirannya ke dunia ini tidak diingini. Namun perlukah bayi yang tidak berdosa ini diperlakukan sedemikian rupa?

Tidak dapat dibayangkan ada orang yang tergamak meninggalkan bayi yang masih bertali pusat di atas lantai di tepi pintu pagar sebuah masjid di sini.

Tidak diketahui sama ada ada bayi itu masih bernyawa ketika ditinggalkan di situ. Apa yang pasti, badannya dihurungi semut sewaktu ditemui. Dan bayi itu tidak lagi bernyawa.

Tidak ada manusia waras tergamak memperlakukan sedemikian. Namun itulah yang berlaku terhadap bayi perempuan ini.

Siri kekejaman terhadap bayi yang kelahirannya tidak dikehendaki nampaknya semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tiada penamatnya.

Sudah tiga hari berturut-turut kes yang hampir sama berlaku. Kelmarin, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan semalam, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah.

Penemuan terbaru awal pagi ini, cukup mengejutkan seluruh penduduk Kampung Permatang Duyong di sini.

Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat itu hanya dibalut dengan sehelai kain putih.

Bilal masjid yang datang menunaikan solat Subuh merupakan orang pertama menjumpai mayat bayi itu yang pada mulanya disangka gumpalan baju.

Mohamad Abu, 60, berkata, dia ternampak gumpalan kain putih di atas lantai berhampiran pintu pagar kira-kira pukul 5.30 pagi.

“Saya tidak berapa perasan kerana keadaan ketika itu gelap. Saya ingat ia hanya baju putih yang mungkin dibawa angin dan terjatuh di situ.

“Ketika itu, saya tidak mempedulikan kain putih tersebut kerana hendak menunaikan solat Subuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Permatang Duyong, hari ini.

Sebaik sahaja selesai solat, dia dikejutkan oleh jeritan seorang rakannya yang memberitahu ada mayat bayi perempuan di atas lantai berhampiran pagar masjid.

Mohamad yang bergegas keluar, terkejut apabila melihat mayat bayi yang dibaluti kain putih itu dihurungi semut.

“Saya betul-betul tidak sangka kain putih yang saya lihat tadi rupa-rupanya digunakan untuk membalut bayi,” katanya.

Dia kemudiannya segera menghubungi polis dan memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi perempuan di masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut sambil memberitahu, polis sedang berusaha mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

“Mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan ibu bapanya termasuk mendapatkan rekod kelahiran daripada hospital dan klinik-klinik kerajaan serta swasta,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.


MusicPlaylistRingtones

 

Friends